Norzie 'muka baru' Jejak Rusul 13
Oleh: http://www.mstar.com.my/
SETIAP kali menjelang Ramadhan, program dokumentari popular berbentuk keislaman, Jejak Rasul pasti menjadi antara salah satu program yang dinanti-nantikan oleh penonton. Rata-rata ingin menghayati dan menambahkan pengetahuan mengenai riwayat dan perjuangan para Rasul dalam menyebarkan dakwah kepada seluruh umat. Melangkah ke musim yang ke-13, Jejak Rasul kali ini kembali menemui penonton dengan paparan yang lebih istimewa di mana untuk musim terbaru ini, program kesayangan ramai ini memberi penekanan kepada riwayat para sahabat Rasul yang sama-sama memperjuangkan Islam bersama dengan Nabi Muhammad S.A.W. Masih mengekalkan pengacaranya yang juga bertindak selaku penerbit eksekutif, Zainal Ariffin Ismail, Jejak Rasul - Sahabat telah pun memulakan siarannya semalam pada jam 6.30 petang dan akan disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat. "Setiap tahun, cabaran yang perlu kami hadapi dalam menhasilkan Jejak Rasul ialah untuk tampilkan kelainan. Kami terpaksa memikirkan dari aspek kreativiti pengisian program ini."Kali ini penggambaran Jejak Rasul dijalankan di sekitar Egypt, Yemen, Syria, Jordan dan Arab Saudi. "Kami mula jalankan penggambaran pada bulan Mac lalu selama lebih kurang 3 bulan dan kami memang mendapat sokongan yang baik daripada negara-negara yang terlibat, cuma cabarannya di sana ialah cuaca. "Alhamdulillah, kini Jejak Rasul sudah masuk tahun yang ke-13 dan tidak dinafikan program ini masih ada penonton setianya, walaupun sekarang ini sudah ada pelbagai program dokumentari seperti ini dibuat," kata Zainal yang ditemui pada majlis pelancaran program tersebut di Sri Pentas, Bandar Utama, baru-baru ini. Menariknya Jejak Rasul kali ini, selain mendedahkan riwayat para sahabat Rasul seperti Abu Bakar A.S, Umar A.S dan Uthman A.S, siri khas Jejak Rasul untuk segmen hujung minggu juga diperkenalkan. Dikenali dengan Jejak Rasul - Assalam USA, program yang akan memaparkan tokoh-tokoh Muslim di Amerika Syarikat akan disiarkan setiap Sabtu dan Ahad pada jam 5 petang dengan menampilkan Norzie Pak Wan Chik sebagai pengacaranya. Paparan ini merupakan koleksi kisah Muslim Amerika yang mempunyai cara tersendiri untuk membangunkan ummah. Antara tokoh yang ditemubual oleh Norzie di sana ialah Bill Aossey (ahli perniagaan dan philantrophis), Wajahat Ali (pengarah filem) dan Profesor Akbar Ahmed (penulis skrip filem dan pengacara siri dokumentari)."Kita sebenarnya sudah lama merancang untuk buat program Jejak Rasul di Amerika. Kebetulan pula ketika itu berlakunya tragedi 11 September, jadi kami risau akan timbul masalah jika kami ke sana. "Kami bernasib baik sebenarnya apabila mendapat kerjasama Pegawai Media Kedutaan Amerika, Kathryn Taylor. Dia yang banyak membantu usaha kami untuk hasilkan Assalam USA. "Tentang pemilihan Norzie pula sebagai hos segmen ini, saya rasa dialah yang paling sesuai kerana selain menonjolkan imej bertudung, Norzie juga berpengetahuan luas dan fasih berbahasa Inggeris."Dia mempunyai kemampuan tersendiri dan saya lihat dia membawa imej Islam yang universal," ujar Zainal. Dalam pada itu, Norzie yang pertama kali menyertai team Jejak Rasul ini berkata, dia dan pihak produksi lain tidak banyak menghadapi cabaran ketika melakukan penggambaran selama sebulan di sana. "Tidak banyak cabaran. Tidak timbul langsung tentang isu keselamatan sebab kami memang dapat kerjasama yang baik. "Saya lebih kepada 'kejutan budaya' dari segi dakwah Islam di dalam negara yang moden seperti itu, misalnya ada yang menyampaikan dakwah menerusi muzik hip-hop. Kami jalani penggambaran di Iowa, San Francisco, Los Angeles, New York, Michigan, Washington dan Kentucky. "Saya juga berpeluang menziarahi anggota kongres Muslim pertama di Amerika, Keith Ellison. Sepatutnya kami ingin juga bertemu dengan peninju tersohor Muhammad Ali, tetapi kerana dia terlalu sakit, jadi kami hanya pergi ke Muhammad Ali Centre dan menemubual mereka yang mengenali beliau."Ini adalah pengalaman yang cukup membuka mata saya terhadap Islam. Melihat cara mereka menyampaikan dakwah akan membuatkan kita sedar dan lebih menghargai Islam," kata Norzie. Program Jejak Rasul ini ditaja oleh Bank Pertanian Malaysia. Bank ini turut menaja hadiah-hadiah bagi Kuiz Jejak Rasul yang akan ke udara dalam program Malaysia Hari Ini sepanjang Ramadhan ini. Tiga orang pemenang mingguan akan dipilih untuk menerima RM300, RM200 dan RM100 sementara lima pemenang soalan terkumpul pula bakal memenangi pakej umrah setiap seorang.
0 comments:
Post a Comment