‘Saya pasrah andai berpisah’
Oleh Mohamad Hussin
mohamad@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Saya pasrah apa yang berlaku sama ada bersama semula atau berpisah dengan Abby,” kata Norman Hakim atau Mohamed Nurhakim Zaidon, 32, yang ditemui selepas menunaikan solat Hajat dan Istikarah di Masjid Nur Hidayah Kampung Pandan di sini, malam tadi.
Katanya, lebih baik dia mengambil sikap bertenang sekarang dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
Ini kerana pelakon yang terkenal dengan watak pegawai polis dalam drama Gerak Khas itu tidak mahu mengeruhkan lagi keadaan berikutan ada segelintir pihak cuba menangguk di air keruh.
Ditanya perasaannya terhadap isteri dan anak, kata Norman, dia masih menyayangi keluarganya dan berharap rumah tangganya dapat dipertahankan.
Malah, menurutnya, dia masih menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga termasuk tetap membayar bil elektrik dan air serta membiayai persekolahan anak.
“Masih ada kasih sayang saya pada anak dan isteri. Masa solat tadi terbayang anak sulung yang selalu azan. Saya pentingkan masa depan mereka tidak kira apa yang berlaku nanti...bersatu atau berpisah.
“Kebajikan mereka tidak akan terabai. Siapa yang tak sayangkan anak. Kali terakhir saya berjumpa dengan mereka ketika majlis cukur jambul anak bongsu saya selepas hari raya lalu,” katanya.
Dia juga tidak mahu mengulas panjang isu rumah tangganya bersama Abby kerana boleh menjadi ruang perbalahan dan tiada jalan penyelesaian.
“Saya nak cari jalan penyelesaian...saya perlukan ruang untuk cari petunjuk arah bagi selesaikannya.
“Berikan saya ruang...biarlah saya cari jalan penyelesaian terlebih dulu sebelum mengambil sebarang keputusan,” katanya.
Norman ternyata tidak mengetahui bila dapat menyelesaikan masalah terbabit dengan menyerahkannya kepada Allah s.w.t.
Bagaimanapun, baginya, apa yang penting kawan dan ahli keluarga tetap memberi sokongan.
“Saya tidak boleh salahkan sesiapa sama ada berkaitan kes khalwat atau masalah rumah tangga. Perkara sudah terjadi...saya perlu pertahankan diri saya.
“Apatah lagi isteri saya dalam keadaan emosi yang menebal, biarlah dia reda dulu...dalam keadaan pelbagai spekulasi dan andaian, saya nampak ia bukan platform untuk berbalas kenyataan kerana akan mengeruhkan lagi keadaan.
“Saya memohon kepada Allah s.w.t supaya menyelamatkan rumah tangga kami...apa gerak hati yang terbaik itulah yang datang daripada Yang Maha Esa,” katanya yang lega dapat melakukan solat hajat dan Istikarah bagi memperoleh petunjuk untuk menyelesaikan masalah dihadapinya.
Norman berkata, dia memohon petunjuk kerana jika jalan terbaik ke arah penyelesaian itu ialah berpisah, dia bersedia menerimanya.
Dia seterusnya menafikan sudah mengahwini Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, yang menjadi punca keretakan rumah tangganya.
Perkara itu turut disahkan abangnya, Mohd Sophee Zaidon, 44, dan sepupu Norman, Razin Abdul Razak, 43, yang turut berada di masjid berkenaan.
“Saya belum mengahwini Memey, itu semua spekulasi dan saya tak pernah kahwin dan tak pernah hantar borang nikah. Segala-galanya tidak benar.
“Saya tidak mahu cakap apa-apa, nanti akan bangkitkan gelodak emosi daripada pihak Abby,” katanya yang terkejut dengan kehadiran media di masjid itu.
Norman yang memakai baju Melayu putih dan berkain pelekat kelihatan tenang ketika menjawab soalan diajukan wartawan.
“Saya tidak sangka media akan datang ke sini...nanti apa pula anggapan masyarakat terhadap saya, sampai sembahyang pun nak panggil media,” katanya.
Hasil perkongsian hidup mereka, Abby dan Norman dikurniakan tiga anak, Mohamed Danish Hakim, 5, Marissa Dania Hakim, 3 dan Maria Danisha Hakim, lebih sebulan.
Sumber Dipetik Dari : www.hmetro.com.my
0 comments:
Post a Comment