Monday, June 16, 2008

Norjuma Mengandung Lagi!

SEJAK mendirikan rumah tangga, Norjuma Habib Mohamad (Juma), 25, nampaknya lebih senang menjalani kehidupan sebagai isteri daripada diburu glamor dunia pengacaraan. Justeru, kehadiran wanita jelita yang kini bergelar Datin di Majlis Cocktail Nona Bersama 22 Jelitawan Negara, sempena Sambutan 22 Tahun TV3 Bersama Nona di Presidential Suite, Hotel Renaissance, Kuala Lumpur, baru-baru ini, memukau hadirin terutama pihak media. Anggun berpakaian serba hitam, kecantikan Juma juga bekas pengacara Nona 2003-2004 itu ternyata tidak luntur biarpun tubuhnya sedikit berisi kerana berbadan dua. “Alhamdulillah, saya mengandung lagi dan usia kandungan kini lebih tiga bulan,” katanya. Tidak seperti pasangan suami isteri lain yang seronok berkongsi pengalaman bakal bergelar ibu bapa, Juma dan suaminya dibelenggu perasaan takut berbanding gembira. “Bukan saya tidak bersyukur atau tidak seronok dengan kehamilan ini cuma selepas mengalami keguguran tidak lama dulu lebih banyak perasaan takut dalam diri saya. Apatah lagi ketika diberitahu mengenai berita gembira ini saya masih lagi dalam keadaan trauma. “Hakikatnya saya belum bersedia dari segi mental dan fizikal sepenuhnya. Bahkan doktor menasihati saya supaya tidak mengandung selama enam bulan selepas menjalani rawatan keguguran. Namun sebulan selepas rawatan saya disahkan mengandung lagi. “Justeru, sekarang ini saya lebih berhati-hati dan banyak merehatkan diri. Tidak lagi memandu atau menemani suami ke luar negara,” katanya. Juma mendirikan rumah tangga dengan Datuk Mohamed Nazim Razak pada 23 April 2005. Mengimbas kembali peristiwa keguguran dialaminya, Juma sendiri tidak sedar dia sudah berisi lima minggu ketika itu. “Saya baru saja pulang dari Dubai bersama suami. Dua hari kemudian, entah mengapa badan rasa tidak selesa dan lemah. Akhirnya saya ambil keputusan bertemu doktor. “Selepas dirawat, doktor mengesahkan jantung bayi tidak lagi berdegup dan saya perlu menjalani rawatan vakum untuk mengeluarkannya,” katanya seolah-olah keberatan menceritakan peristiwa itu. Sepanjang proses kehamilan, ibu mengandung tidak terlepas dari alahan ‘pembawa budak’. Pun begitu tidak dinafikan ada sebilangan kecil daripada mereka terlepas ‘mabuk laut’ sebaliknya suami pula terpaksa menanggung alahan. Apa yang pasti, alahan dihidapi Juma jarang berlaku pada wanita lain kerana ia terjadi pada waktu malam saja. “Biasanya ibu mengandung mabuk waktu pagi atau tengah hari, saya pula malam ketika semua orang syok tidur. Setakat ini belum pernah kena alahan sebelah pagi mungkin sebab saya amalkan tidur tengah hari jadi perut kurang berangin. “Selain alahan, saya juga mengidam makanan yang dulunya tidak begitu gemar namun sejak mengandung saya boleh makan apa saja hidangan Mc Donalds seperti burger, nugget, fries dan ayam dalam satu masa,” katanya menginginkan anak perempuan sementara suami mengharapkan, bayi lelaki. Beralih pada kehidupan berstatus Datin dan isteri kepada ahli perniagaan berjaya, Juma mengakui masih belajar menyesuaikan diri. “Saya orang biasa, tentunya memerlukan masa menyesuaikan diri dengan keadaan sekeliling. Pun begitu saya semakin selesa bergaul dengan isteri rakan suami. Apapun selepas mendirikan rumah tangga kehidupan saya semakin tenang,” katanya.

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger