Friday, February 15, 2008

Konsert Mawi

Konsert hebat buat warga Kelantan
Oleh: Zubir

DUA konsert berbeza tapi satu matlamatnya. Begitulah yang boleh dikatakan apabila sekumpulan artis diberi peluang ‘menjejakkan kaki’ ke Kelantan untuk membuat persembahan sempena ulang tahun pertama Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) pada 18 dan 19 November lalu.Untuk memastikan rakyat negeri itu mendapat hiburan sepenuhnya, satu konsert tertutup telah diadakan khas untuk kaum wanita di Pusat Tarbiah Islamiah Kelantan (Putik) selain konsert terbuka melibatkan artis lelaki di Stadium Sultan Muhamad ke IV.Apa yang menarik, persembahan artis wanita buat pertama kalinya diadakan di negeri itu tetapi secara tertutup hanya untuk kaum wanita sahaja.Ia diadakan untuk memberi peluang kepada kaum wanita menyaksikan hiburan melibatkan artis kesayangan mereka seperti Aishah serta empat bekas pelajar Akademi Fantasia (AF) iaitu Edlin, Zila, Salima dan Karen.Dalam persembahan itu, semua kerja teknikal termasuk pengendalian sistem bunyi dan pencahayaan dilakukan oleh kaum wanita.Ternyata usaha murni sempena sambutan ulang tahun pertama MPKB-BRI itu tidak sia-sia apabila ia berjaya menarik perhatian lebih 3,000 kaum wanita termasuk kanak-kanak yang berpeluang menyaksikan persembahan menarik buat kali pertamanya secara ‘live’.Semasa persembahan, setiap artis melahirkan rasa gembira kerana dapat mengadakan persembahan di bumi Kelantan dengan disaksikan oleh kaum hawa sahaja.“Inilah kali pertama saya mengadakan persembahan di Kelantan. Rasa sejuk hati sangat kerana keadaan di sini. Tenang berbeza dengan tempat-tempat lain,” kata bintang AF4, Salima yang memulakan persembahan pada petang bersejarah itu.Salima yang diberi peluang membuka tirai persembahan memilih beberapa buah lagu Aidilfitri sebelum menyanyikan lagu Arab dan Hindustan yang menjadi ‘trademark’nya.Muncul dengan pakaian ala ranggi dengan tali pinggang berjuntai ditepi, anak jati kelahiran Kelantan, Karen memanaskan suasana dengan mempersembahkan lagu Cindai, yang pernah dipopularkan Datuk Siti Nurhaliza.Semacam serasi dengan lagu itu, Karen dilihat bijak berinteraksi terutamanya ketika bercakap loghat Kelantan selain mengajak penonton turut sama menyanyikan lagu itu.Kemesraan jelas terpancar apabila penonton khususnya remaja berebut-rebut ingin mengambil bahagian dalam acara yang diadakan di pentas bersama artis-artis tersebut.“Sporting sungguh oghe kito nih. Tak sangko,” ujar Karen yang berasal dari Wakaf Bharu, Tumpat.Tidak ketinggalan, mata penonton seolah-olah terpukau dengan kelantangan vokal bintang AF2, Edlin yang menyanyi lagu popular Faradhiya dan Kris Dayanti iaitu Bertakhta Di Hati dan Mencintaimu.Apa yang pasti, bintang-bintang AF itu dilihat banyak dipengaruhi lagu-lagu Siti Nurhaliza seperti lagu Cindai oleh Karen, Nirmala (duet Edlin dan Zila) dan Biarlah Rahsia yang didendangkan oleh Zila.Mengakhiri persembahan, Aishah yang muncul dengan pakaian sedondon berwarna biru ‘turquoise’ dapat mengubati kerinduan peminat terhadapnya. Aishah tetap hebat apabila mengalunkan lagu popular ‘Melukut Di Tepi Gantang’ yang menjadi tema slot Identiti Kasih yang disiarkan TV3 baru-baru ini serta lagu Pulanglah.Pada hari berikutnya konsert terbuka Hotlink dijayakan dengan kehadiran kira-kira 15,000 penonton membanjiri Stadium Sultan Mohamad IV Kota Bharu.Dikendalikan oleh pelawak tempatan dari rancangan Salam Pantai Timur, Abe Jali dan Che Awe, konsert kira-kira tiga jam itu agak kurang ceria kerana pemilihan lagu Irama Malaysia oleh kebanyakan artis.Haziq yang sinonim dengan lagu-lagu berentak itu dilihat ‘kurang sesuai’ memulakan persembahan dengan membawa lagu seperti Cinta Nusantara dan Gurindam Anak Muda. Ia termasuk juara AF2 - Zahid yang mempersembahkan lagu berentak zapin selain gabungan Hazama dan Haziq dengan lagu Senandung Hidup Berbudi. Zahid sedaya upaya cuba menghidupkan suasana meriah pada malam itu tetapi mendapat sambutan hambar peminat kerana lagu-lagu zapin yang dinyanyikan kurang menarik peminat penonton pada malam itu. Bagaimanapun konsert berkenaan kembali mendapat sorakan apabila mereka menyanyi secara trio lagu Alhamdulillah yang dipopularkan kumpulan Too Phat.Mungkin mengecewakan sedikit, tetapi itulah yang dapat dilihat apabila penonton mula membuat bising dan meminta penyanyi lain beraksi tatkala Hazama membuat persembahan.Bagaimanapun, persembahan pada malam itu harus mendapat pujian kerana kepetahan dua pelawak berkenaan menyelamatkan keadaan dengan lawak-lawak bersahaja diikuti oleh gelak tawa dari penonton selain kemunculan kumpulan nasyid In-Team yang menceriakan suasana.Kemuncak kepada persembahan itu apabila Mawi muncul mendendangkan lagu Seroja bersama Zahid yang dilihat mampu menceriakan konsert. Seperti yang dijangkakan Mawi menerima tepukan gemuruh daripada penonton apabila mendendangkan beberapa buah lagu pilihan seperti marhaban, lagu nasyid Sesungguhnya dan Al-Jannah.Malah, apabila dia mula menyanyikan lagu-lagu berentak rancak seperti Kian dan Cinta Hakiki, penonton turut menyanyi bersama-sama dengannya.Walaupun begitu, penonton yang hadir bagaikan sukar untuk melihat penyanyi kontroversi itu beredar sebaliknya meminta beliau menyanyikan lagu tambahan untuk hiburan mereka.Menutup persembahan, artis-artis mendendangkan lagu Mentera Semerah Padi dan kemudiannya lagu Selamat Hari Raya beramai-ramai. Apa pun, konsert berkembar Hotlink itu memberi laluan kepada lebih banyak persembahan pentas bagi hiburan rakyat Kelantan yang sebelum ini kurang disajikan dengan konsert seperti itu.Selain Hotlink, konsert berkenaan dijayakan dengan kerjasama stesen radio THR dan juga akhbar Kosmo!

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger