Sunday, February 24, 2008

ZED ZAIDI - Saya boleh bolot duit show

ZED ZAIDI - Saya boleh bolot duit show

Oleh: WANDA IDRIS



NAMA Seven Signs mungkin masih tidak begitu dikenali oleh kebanyakan peminat muzik arus perdana namun sebenarnya lagu-lagu ciptaan mereka sudah pun mendapat kepercayaan untuk dijadikan lagu tema filem dan drama bersiri.
Malah tanyalah kepada sesiapapun yang menggemari drama bersiri Sembilu, pasti mereka amat menghayati lagu tema drama terbitan Skop Productions itu yang didendangkan oleh Seven Signs.
Vokalisnya, Zed Zaidi, 24, sendiri lebih dikenali sebagai hero drama tersebut berbanding pembabitannya dalam kumpulan yang telah pun wujud sejak hampir lima tahun lalu.
Sehinggakan ada yang melemparkan tuduhan bahawa Seven Signs yang turut dianggotai oleh Avira, 25, sebagai pemain gitar irama, Wan Cha, 25, (drum), Ejal, 25, (gitar utama) dan Bad, 22, (gitar bass) hanya menumpang populariti Zed Zaidi.
Tambahan pula mereka kini sudah pun muncul dengan album sulung berjudul Selamat Siang yang telah dipasarkan sejak lima bulan lalu.
Apakah tohmahan itu betul?
Ikuti bicara hati ke hati Zed Zaidi dengan Utusan Malaysia baru-baru ini.
Seven Signs hanya menumpang populariti Zed Zaidi. Apa komen Zed?
ZED ZAIDI: Seven Signs sudah wujud lama sebelum saya berlakon Sembilu. Kebetulan saya mendapat tawaran untuk berlakon dalam drama tersebut, sebelum kami melahirkan album. Jadi ia kelihatan seperti itu.
Jadi apa tindakan anda?
ZED ZAIDI: Dalam apa juga yang saya lakukan, saya sentiasa berusaha mempromosikan kumpulan saya. Sebab itu saya merasakan pembabitan dalam bidang lakonan adalah antara peluang terbaik untuk memperkenalkan Seven Signs.
Alhamdulillah strategi itu nampaknya berjaya. Datuk Yusof Haslam sendiri meminta diciptakan satu lagu tema untuk drama Sembilu apabila mengetahui saya mempunyai kumpulan sendiri. Maka lahirlah lagu Sembilu.
Sebenarnya selain Sembilu, lagu kami, Lafaz Cinta juga pernah menjadi lagu tema filem komedi lakonan saya, Bisikan Remaja.
Apa jua yang saya lakukan, saya tidak membelakangkan kawan-kawan lain dalam Seven Signs. Kalau saya berlakon, saya cuba selitkan lagu-lagu ciptaan kami.
Kalau terima tawaran menyanyi, kami pergi bersama-sama. Pokoknya, saya tidak akan mengadakan show sendiri. Bukan tak pernah ditawarkan buat persembahan secara solo. Banyak. Malah kalau saya pentingkan diri, saya boleh bolot duit show seorang diri, tak payah nak kongsi-kongsi dengan anggota Seven Signs yang lain.
Tapi itu bukan saya. Bagi saya, biarlah dapat 'ciput' kerana duit bayaran show kena kongsi berlima. Tak apa. Yang penting, saya mengadakan show bersama-sama kumpulan saya! Saya mahu dikenali sebagai Seven Signs.
Apa yang istimewa sangat dengan Seven Signs?
ZED ZAIDI: Kami mahu membawa perubahan baru kepada muzik tempatan. Kami mahu perjuangkan konsep pop rock ala Jepun. Senang didengar, mudah dihafal dan menyeronokkan.
Tapi seperti selalu, untuk menambat hati pasaran, kami tetap selitkan dua tiga lagu mengikut kehendak semasa. Antaranya seperti lagu Sembilu.
Menariknya tentang kami ialah kami selalu menyanyi mengikut kehendak peminat. Kalau pergi 'gig', takkan kami nak main lagu Sembilu yang tangkap leleh. Sebaliknya kami akan ubah melodinya kepada yang lebih berat, kuat seperti techno.
Cerita sikit tentang Seven Signs?
ZED ZAIDI: Kumpulan Seven Signs ini pada asalnya ditubuhkan pada tahun 2000 yang dianggotai oleh tujuh orang yang menggelarkan diri sebagai Season Change. Tetapi kumpulan itu tidak dapat bertahan lama apabila pemain keyboard, vokalis dan pemain gitarnya menarik diri.
Ketika itulah saya telah dilamar oleh kumpulan tersebut untuk menggantikan vokalis utama mereka. Bermula tahun 2003, kami telah menukarkan nama kepada Seven Signs dan akhirnya pada penghujung bulan Ogos yang lalu kami telah berjaya memasarkan album sulung kami.
Macamana sambutan peminat?
ZED ZAIDI: Alhamdulillah... Album terbitan Seven Signs Entertainment yang diedarkan oleh Universal Music mendapat sambutan baik daripada peminat khususnya kalangan para pelajar universiti.
Jadi kami merancang untuk mengadakan promosi ke seluruh universiti di negara ini sebagai salah satu usaha mempromosikan album.
Selain itu, saya mungkin akan menyelitkan juga Seven Signs ketika saya menjalani rangka promosi filem Sembilu 2005.
Sebenarnya buat masa ini kami sedang giat melakukan promosi setelah tertangguh atas beberapa sebab yang tak dapat dielakkan termasuklah sambutan Hari Raya.

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger