Thursday, February 21, 2008

Peminat, pembaca BH tidak sisih Faizal Tahir

Peminat, pembaca BH tidak sisih Faizal Tahir

Oleh: Serimah Mohd Sallehuddin




ADEGAN membuka baju ketika membuat persembahan di konsert sambutan ulang tahun keempat saluran 8TV baru-baru ini membawa bahana kepada kerjaya seni Faizal Tahir, 30, seorang penyanyi yang lahir melalui program realiti One In A Million, apabila dia dilarang membuat persembahan secara langsung di kaca televisyen. Namun, episod hitam yang dicetuskan di awal kedatangan 2008 itu tidak mempengaruhi keutuhan dan kesetiaan peminat dan pembaca Berita Harian dan Berita Minggu terhadap penyanyi berbakat dan berpotensi untuk pergi lebih jauh lagi dalam persada seni tanah air.

Malah kemunculan penyanyi itu nyata masih lagi didambakan peminat. Buktinya, ketika dia muncul buat kali pertama di khalayak ramai pada siri jelajah promosi Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH 2007) di Kuala Terengganu, Terengganu, hujung minggu lalu, Faizal mendapat tepukan hangat penonton. Malah, mereka sanggup menunggu ke penghujung acara semata-mata untuk bertemu dengan penyanyi itu yang muncul di akhir persembahan. Saat kemunculan, dapat dilihat keterujaan mereka untuk melihat Faizal beraksi. Tepuk sorak bergema sebaik penyanyi itu muncul di atas pentas dengan membawa lagu yang menjulang namanya iaitu Mahakarya Cinta diikuti dengan lagu terbarunya Smpai Syurga. Dengan kemeja-t Superman yang begitu sebati dengan imejnya, bapa kepada dua cahaya mata itu bagaimanapun dilihat lebih berhati-hati ketika berada di khalayak ramai. Mungkin tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Biarpun keletihan kerana semalaman tidak tidur kerana bertungkus lumus menyiapkan kerja di studio rakaman, ternyata Faizal tidak mahu menghampakan peminatnya di Kuala Terengganu. Dia cuba memberikan persembahan sebaik mungkin. Mahakarya Cinta yang didendangkan sebagai salam perkenalan kepada peminatnya di Pantai Timur mendapat tepukan gemuruh penonton terutama wanita tidak kira tua atau muda. “Ini persembahan pertama saya di khalayak ramai. Secara jujur, tidak terbit rasa takut untuk bertemu dengan orang ramai selepas insiden yang berlaku kepada saya. Memang saya teringin sangat bertemu mereka dan melihat bagaimana penerimaan mereka terhadap saya. “Bagi saya benda ini perlu ada dalam diri setiap artis.

Kita perlu bersikap profesional. Apabila melakukan kesilapan kita tidak harus memencilkan diri, sebaliknya kita perlu tampil ke hadapan. Kontroversi tidak menjadi alasan untuk tidak berjumpa dengan orang ramai,” katanya yang mengakui lebih berhati-hati sejak episod hitam yang tercetus itu. Menurut penyanyi yang baru muncul dengan album Aku.Muzik, Kamu itu, dia memang berhasrat mengikuti siri jelajah promosi ABPBH 2007 namun tidak berkesempatan. Bagaimanapun sebaik mempunyai ruang, dia cuba mencelah untuk sama-sama mempromosikan anugerah berprestij ini dan juga untuk bertemu dengan peminat.

Namun dia menafikan hanya berani menyertai siri jelajah promosi ini setelah mendengar permintaan peminat di KB Mall, Kota Bharu, Kelantan, dua minggu lalu. “Saya menyertai siri jelajah ini bukan setelah mendengar yang peminat ingin bertemu saya tetapi untuk mempromosikan anugerah ini. Saya memang ingin menyertai siri jelajah ini. Kalau boleh semua lokasi ingin saya sertai tetapi kenalah tengok jadual. “Lagipun siri jelajah ini dapat mendekatkan hubungan sesama artis. Contohnya pada siri jelajah ini, ada beberapa muka saya tidak pernah bertemu tetapi dengan acara seperti ini saya dapat mengenali mereka. Industri kita sangat kecil, ke mana pergi kita akan bertemu dengan wajah yang sama. Jadi, inilah peluang yang baik untuk saya,” katanya lagi.

Faizal yang turut mendendangkan lagu Sampai Syurga dan Senang Ingin Bercinta mengakui dia menyimpan impian untuk bergelar Penyanyi Lelaki Popular tetapi menyedari saingan sengit apatah lagi terpaksa bersaing dengan nama besar seperti Mawi, Anuar Zain, Hazami dan Adam, menyebabkan dia tidak meletakkan sebarang harapan tinggi. “Saya antara penyanyi paling baru berbanding mereka. Tipu jika saya kata tidak mahukan trofi itu tetapi secara jujur, apabila dicalonkan dalam Top 5 pun saya sudah terkejut,” katanya.

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger