Friday, June 20, 2008

Norish nafi rumah tangga bergolak

Petikan Dari: www.utusan.com.my

KUALA LUMPUR 12 Jun - Pelakon popular, Datin Norish Karman, 34, menafikan rumah tangganya dengan Datuk Hashimuddin Abdul Kadir mengalami pergolakan.

Bahkan, aktres kelahiran Singapura itu menegaskan, beliau dan suaminya yang juga seorang ahli perniagaan masih lagi tinggal sebumbung dengan anak-anak mereka.

"Siapa yang buat cerita ini? Lebih baik anda tanya sendiri pada mereka yang menyebarkan gosip tidak berasas ini. Sepanjang bergelar artis, inilah gosip hebat yang pernah saya hadapi," kata Norish kepada wartawan ketika ditemui pada sidang media pengumuman teater Bukan Dejavu di sini hari ini.

Norish memberi reaksi sedemikian sebagai mengulas desas-desus yang mendakwa rumah tangga beliau dan Hashimuddin kini di ambang keretakan.

Pelakon yang mula dikenali ramai menerusi filem Sayang Salmah itu berkahwin dengan suaminya sejak 10 tahun lalu dan pasangan tersebut dikurniakan tiga cahaya mata Haqiem Armany, 8; Hardy Amieran, 4; dan Putri Hanyz Amanda, 3.

Menurut Norish lagi, sebagai artis, beliau sebolehnya mahu menjauhkan diri daripada dikaitkan dengan gosip yang tidak berasas.

"Kalau mahu usik cerita peribadi, saya minta maaf kerana isu sebegini hanya akan membuatkan keluarga saya terguris. Yang terlibat dalam bidang seni hanyalah saya, jadi tolong jangan kaitkan hal-hal keluarga dalam hal sebegini," katanya.

Berkali-kali Norish menjelaskan, dia tidak pernah merujuk kepada mahkamah berhubung rumah tangganya.

"Persoalan yang dinanti-nantikan ini suatu hari akan terjawab dan terjelas jua. Dan sekiranya berlaku apa-apa, saya akan mengadakan sidang media," katanya lagi.



0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger