Thursday, December 18, 2008

Abby n Norman bercerai juga akhirnya




Khamis Disember 18, 2008

Abby dan Norman bercerai lagi dengan talak satu
Oleh NURUL AIN MOHD. HUSSEIN

Pasangan Abby Abadi-Norman Hakim akhirnya bercerai.
[SEMASA] KUALA LUMPUR: Pasangan pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim hari ini bercerai talak satu di Mahkamah Syariah Gombak Timur.

Norman atau Mohamed Norhakim Zaidon, 32, melafazkan talak kepada Abby atau Arbaeyah Abdul Manan, 31, pada pukul 11.20 pagi ini di hadapan hakim Wan Mahyuddin Muhamad.

Semasa hendak melafazkan talak, Norman dilihat gagal mengawal perasaan, sehingga mahkamah terpaksa ditangguhkan kira-kira 10 minit untuk memberi masa kepada Norman menenangkan diri.

Pada 5 Disember, Abby Abadi telah memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Norman Hakim yang baru-baru ini ditangkap khalwat dengan seorang pelakon baru, Memey Suhaiza.

Permohonan tersebut difailkan melalui peguam syarie, Ahmad Nazib Johari di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur dekat sini.

Itu merupakan kali kedua Abby memfailkan permohonan perceraian setelah cubaan kali pertama yang dilakukan sendiri tanpa peguam syarie pada 3 November lalu gagal disebabkan dokumen yang tidak lengkap.
Mahkamah menetapkan hari ini untuk mendengar sebutan kes tersebut untuk mengetahui sama ada Norman yang juga seorang pelakon bersetuju atau sebaliknya terhadap permohonan isterinya.

Jelas beliau, Abby mengemukakan permohonan di bawah Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga (Negeri Selangor) 2003 iaitu bercerai dengan persetujuan Norman melalui kebenaran mahkamah.

Dalam permohonan itu, kata Ahmad Nazib, Abby memohon perceraian dengan alasan tiada lagi persefahaman antara mereka suami isteri.

Abby yang baru menyambut hari jadi yang ke-31 pada 1 Disember lalu sebelum ini pernah menegaskan untuk mengakhiri perkahwinan mereka ekoran krisis yang melanda.

Norman yang juga seorang ahli perniagaan bagaimanapun berharap agar rumah tangga mereka dapat dipertahankan demi kebahagiaan tiga orang anak mereka.

Rumah tangga pasangan artis tersebut dilanda kemelut apabila Norman ditangkap khalwat bersama Memey di sebuah premis perniagaan di Ukay Perdana dekat sini pada awal pagi 30 Oktober lalu.

Pada 3 November lalu, Abby dinasihatkan oleh pihak mahkamah supaya berbincang dengan Norman terlebih dahulu supaya dapat bercerai secara baik, setelah dia gagal memfailkan perceraian ekoran dokumen permohonan yang tidak lengkap

Sejurus selepas itu, Abby bertindak nekad berkunjung ke lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas di Wangsa Maju untuk menemui Norman bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga mereka.

Pasangan tersebut yang mendirikan rumah tangga pada 11 Januari 2002 dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Danish Hakim, 5, Marisa Dania Hakim, 3, dan Maria Danisha Hakim, dua setengah bulan.

Norman dan Abby pernah bercerai talak satu pada 5 Mei 2006. Bagaimanapun, mereka rujuk semula dalam tempoh yang singkat.




0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger