MAHU KISAH LEBIH HANGAT DAN PANAS [ KLIK SINI ]
Oleh Nik Sukry Ramli
niksukry@bharian.com.my
KUALA LUMPUR: Polis menemui mayat reput dengan kepalanya terpisah daripada badan, dipercayai pembantu rumah warga Sri Lanka yang dilaporkan hilang dalam kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Mewah, Bukit Antarabangsa, lebih dua minggu lalu.
Mayat itu ditemui dalam lubang sedalam satu meter dengan kakinya ditindih katil di kawasan runtuhan, kira-kira 30 hingga 40 meter dari tapak banglo majikannya, Dr N Yogeswari, 40, yang terkorban dalam kejadian itu. Dengan penemuan mayat itu, korban kejadian tanah runtuh berkenaan kini disahkan lima orang.
Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, berkata mayat itu ditemui anggota keselamatan selepas terhidu bau busuk ketika menjalankan operasi pemantauan dan pembersihan di kawasan runtuhan pada jam 6.30 petang.
“Ketika kerja mengorek, pasukan itu menemui cebisan anggota badan manusia yang sudah reput dan terpisah antara satu sama lain, seperti anggota tangan dan kaki.
“Mayat itu juga sudah nampak tulang anggota badan dan kepala terpisah daripada badan,” katanya ketika ditemui di Bukit Antarabangsa.
Beliau berkata, semua cebisan daging serta anggota badan mayat itu dikumpul dan dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk ujian forensik,
Amiruddin berkata, keluarga suami Dr Yogeswari yang dipanggil untuk tujuan pengecaman, tidak dapat mengenal pasti identiti mayat itu.
Bagaimanapun, tilam dan cadar yang ditemui berhampiran mayat berbaju kemeja-T merah jambu itu disahkan milik keluarga Dr Yogeswari.
“Kita harap dapat mengetahui hasil ujian forensik dalam masa terdekat untuk mengesahkan mayat itu adalah pembantu rumah warga Sri Lanka yang sebelum ini dilaporkan hilang,” katanya.
Dalam kejadian tanah runtuh membabitkan 14 banglo pada 6 Disember lalu, empat mangsa terkorban, manakala pembantu rumah berkenaan yang dikenali Mary gagal ditemui sehingga operasi mencari dan menyelamat dihentikan pada 10 Disember.
Sumber Dipetik Dari : http://www.bharian.com.my
MAHU KISAH LEBIH HANGAT DAN PANAS [ KLIK SINI ]
0 comments:
Post a Comment