Saturday, January 3, 2009

10 maut nahas tiga kereta



GUA MUSANG: Sepuluh orang termasuk ibu bersama tiga anaknya terbunuh, manakala lima lagi cedera dengan dua daripadanya parah, dalam kemalangan ngeri membabitkan tiga kenderaan ketika hujan dekat Gua Sejuk, di sini pagi semalam.

Kemalangan jam 10.30 pagi di Kilometer 21, Jalan Gua Musang-Kuala Krai itu membabitkan Perodua Kancil dinaiki enam beranak dan Perodua Kenari dinaiki lima sekeluarga yang dalam perjalanan ke Kota Bharu, dengan sebuah Nissan Murano, dinaiki empat orang menuju Gua Musang.

Lapan mangsa terbunuh di tempat kejadian akibat tercampak dan tersepit dalam remukan Kancil dan Kenari, manakala dua lagi maut dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang (HGM).

Semua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ-II), Kota Bharu untuk rawatan susulan.

Mereka yang terbunuh ialah pemandu Kancil, Hasliza Mat Zin, 32 dan tiga anaknya, Mohd Rahizal Yusua Abdul Rahim, 12; Shaha, 6; Nor Rashidah, 10 serta adik Hasliza, Maziatulshah Lia Mat Zin, 29. Seseorang lagi anak Hasliza, Noraihah Nabila Abd Rahim, 18 bulan, cedera parah.

Lima lagi yang terbunuh menaiki Kenari iaitu pemandunya, Lau Sie Eik, 60, dan empat penumpang wanita iaitu Lee Bee Seng, 51; Shareen Lau Ming Min, 15; Lau Chai Soom, 79; Ho Kim Hum, 87, semuanya dipercayai sebuah keluarga dari Chetok Hilir, Pasir Mas.

Pemandu Nissan Murano, Pua Thien Ho, 29; dan penumpangnya, Than Chee Hua, 45; Wong Kee Hooi, 51 dan Law Sooi Lee, 34, terselamat dan dibawa untuk rawatan awal di HGM tetapi kemudian dihantar ke HRPZ-II, lewat petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superitendan Ahmad Termizi Abd Haq, berkata kemalangan berlaku dalam hujan gerimis ketika Perodua Kancil dan Kenari terbabit ke arah Kuala Krai, manakala Nissan Murano dari arah bertentangan.

"Tiba di lokasi, satu daripada kereta yang datang dari arah Gua Musang itu dipercayai cuba memotong sebuah kenderaan lain sebelum bertembung dengan Nissan Murano terbabit. Kedua-dua kenderaan itu turut dirempuh kereta yang cuba dipotong menyebabkan kedua-duanya remuk teruk.

ANGGOTA bomba dan penyelamat cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kereta yang terbabit nahas, semalam.

"Anggota Bomba dan Penyelamat Gua Musang mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan semua mangsa yang tersepit. Polis masih berusaha mengenal pasti sama ada Kancil atau Kenari itu yang cuba memotong di laluan berkenaan," katanya dalam sidang media di sini, semalam.

Beliau berkata, lokasi kemalangan agak berselekoh itu memang antara kawasan sering berlaku nahas di sini. Siasatan awal mendapati, kemalangan berpunca kecuaian seorang daripada tiga pemandu kenderaan terbabit.

"Polis kini mengambil keterangan daripada pemandu Nissan Murano yang cedera dalam kemalangan itu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Sementara itu, suami Hasliza, Abdul Rahim Jaafar, 35, yang ditemui ketika menemani anak bongsunya dalam rawatan kecemasan di HRPZ-II, berkata ketika kejadian, beliau berada di rumah mereka dekat Kampung Kundur, Kuala Betis, di sini.

"Isteri saya bersama adik ipar dan empat anak kami sebenarnya dalam perjalanan menghantar anak sulung kami ke rumah neneknya kerana perlu kembali ke asrama Sekolah Kebangsaan Tawang.

"Saya tidak sangka mereka terbabit dalam kemalangan dan terbunuh. Segala-galanya di luar dugaan kerana dia tidak menunjukkan sebarang tanda atau perubahan ketika keluar dari rumah pagi tadi (semalam)," katanya.

Abdul Rahim berkata, anak bongsunya cedera di perut dan muka dan kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi HRPZ-II.

Semua mangsa yang terbunuh dihantar ke Rumah Mayat HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada waris masing-masing.

Jenazah Hasliza bersama tiga anak dan adiknya dijangka dikebumikan dalam satu liang di tanah perkuburan Islam Kampung Beris Gajah Mati dekat Tawang, hari ini.

Sumber dipetik dari : http://www.bharian.com.my

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger