Saturday, September 13, 2008

Erra sah hamil 2 bulan

KUALA LUMPUR: Selepas setahun mendirikan rumah tangga kali kedua, akhirnya pelakon popular Fazira Wan Chek, 33 atau Erra Fazira disahkan mengandung dua bulan.

Berita gembira itu disahkan suami Erra, Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin.

Ketika dihubungi, Emran menjelaskan dia mengetahui hal terbabit selepas mendapatkan pengesahan doktor awal Julai lalu.

“Erra berasa dia mengandung selepas lewat datang bulan sewaktu bercuti bersama kakitangan Erra Fazira Entertainment di Pulau Tioman, Johor.

“Sangsi dengan keadaan itu, dia melakukan sendiri ujian menggunakan alat ujian kehamilan di sana. Bagaimanapun, dia tidak memberitahu saya hingga pulang ke rumah.

“Keesokannya saya membawa dia melakukan ujian. Syukur apabila doktor mengesah Erra mengandung.

“Bagaimanapun, di peringkat awal doktor menasihatkan kami tidak menghebohkan perkara itu terlebih dulu, hingga dua minggu berikutnya Erra sekali lagi menjalani ujian.

“Selepas melakukan ujian imbasan, doktor mengesahkan jantung bayi dalam kandungan mula berdenyut,” katanya.

Sebelum ini, Erra pernah mengalami keguguran selepas doktor mengesahkan dia mengandung dua minggu sewaktu menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian, Mac lalu.

Emran meminta peminat mendoakan keadaan kesihatan isterinya dan bayi yang dikandung sihat sehingga selamat melahirkan.

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger