Thursday, September 18, 2008

Saya tidak sebebas dulu

BUKAN mudah punya saudara kembar, terutama apabila salah seorang daripadanya bercinta dengan penyanyi paling popular. Itulah yang sedang dirasai dan dilalui pelakon utama drama bersiri Kawan, Nora’Ain Rahmat, 29 atau Aien.

Saudara kembarnya, Nora’Ashikin Rahmat atau Ikin kini sedang hangat menjalin hubungan cinta dengan Mawi. Hubungan mereka bukan lagi rahsia selepas penyanyi popular dengan lagu Aduh Saleha itu membuat pengakuan kepada pihak media sewaktu menghadiri majlis Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH), Mac lalu.

Sejak pengakuan itu tersebar, Ikin tidak lagi bebas seperti dulu, malah dia kini sering diperhatikan peminat sehinggakan timbul pelbagai cerita kurang menyenangkan.

Pertamanya, sudah tentu ramai menantikan tarikh keramat bila Ikin dan Mawi mahu bernikah. Khabarnya, pasangan ini memilih untuk mendirikan rumah tangga akhir tahun ini.

Apabila ditanya, kedua-duanya mengambil sikap mendiamkan diri sementara Mawi dalam kenyataannya berkata, nantikan satu pengumuman khas bakal dibuat selepas Aidilfitri nanti.

Ikin pula kerana mahu menjaga hati orang tersayang harus mendiamkan diri dan menyerahkan segala soalan ditimbulkan kepada kekasih hatinya itu. Akibatnya, Aien menjadi mangsa apabila orang mula mengejarnya untuk mendapatkan jawapan.

Pada mereka, tidak mungkin bekas model itu tidak tahu apa-apa kerana mereka bersaudara. Ke mana saja bersama dan pastinya sedikit sebanyak persiapan perkahwinan turut dibantu Aein untuk disiapkan.

Bagaimanapun, sewaktu ditemui pada majlis rakaman khas rancangan Melodi sempena Aidilfitri, Aien menegaskan dia sebaik mungkin tidak mahu mencampuri urusan Ikin dan Mawi bagi mengelak timbul perselisihan faham.

“Kebiasaannya apabila tidak dapat jawapan daripada Ikin atau Mawi, mereka cari saya ibaratnya saya tahu segala-galanya. Memang kami rapat dan tinggal bersama tetapi ada perkara yang Ikin tidak beritahu saya.

“Lagipun ini hal peribadi terutama isu besar seperti nikah dan kahwin. Sepatutnya memang saya harus tahu tetapi kalau mereka sendiri mahu merahsiakannya, ia di luar bidang kuasa saya.

“Apapun, sebagai ahli keluarga, saya mendoakan agar keputusan bakal diumumkan Mawi selepas Aidilfitri nanti membawa kebaikan untuk mereka berdua,” katanya yang turut mengharapkan isu yang hangat diperkatakan selesai dengan segera.

Cerita Aien lagi, sebelum ini apabila timbul gosip membabitkan Ikin, dia sering menjadi mangsa dan dimarahi kakaknya itu.

Contohnya, isu saudara kembarnya itu dikatakan pergi membeli-belah di Sogo tidak bertudung bersama seorang lelaki tidak dikenali. Apabila cerita itu disiarkan, Aien pula dituduh.

“Gosip seperti itu seperti tidak masuk akal. Ikin menegur saya dengan bertanyakan saya keluar dengan siapa. Padahal pada hari dimaksudkan, saya langsung tidak ke tempat dimaksudkan.

“Bukan itu saja, sebelum ini pun saya pergi membeli barang untuk membuat barangan hamper hari raya. Ada orang menuduh kami beli barang untuk membuat hantaran perkahwinan.

“Pada peringkat awal apabila semua perkara ini terjadi, tidak dinafikan saya berasa sedikit tertekan. Begitu juga Ikin dan Mawi. Namun, lama kelamaan apabila masing-masing sudah bersikap terbuka dan peminat sudah boleh menerimanya, segala gosip ditimbulkan kami boleh menanganinya dengan mudah,” katanya.

Sementara itu, Ikin yang berada di sebelah Aien turut menjelaskan dia tidak pernah membuat sebarang persiapan perkahwinan seperti yang digembar-gemburkan pihak media.

“Orang salah faham. Sebenarnya saya pergi ke kedai bunga dan barang hantaran sebab mencari peralatan sesuai untuk dibuat hamper kuih raya. Tahun ini, saya bersama Aein dan dibantu kakak mengusahakan perniagaan hamper untuk hari raya secara kecil-kecilan.

“Setakat ini, perancangan mengenai perkahwinan saya serahkan sepenuhnya kepada Mawi. Lagipun dia orang lelaki dan rasanya lebih manis sekiranya dia sendiri yang bercakap.

“Saya nasihatkan wakil media dan juga peminat supaya menanti pengumuman mahu dilakukan Mawi selepas Aidilfitri ini seperti apa yang diberitahu sebelum ini,” katanya.

Petikan Sumber Dari : Metro Harian

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger