TIADA yang lebih mengujakan Datuk Siti Nurhaliza pada Lebaran ini selain untuk melunaskan beberapa projek khas termasuk pembikinan album dan persembahan jelajah di seluruh negara selepas sambutan Syawal.
Justeru, awal-awal lagi, penyanyi itu sudah menetapkan selama seminggu untuk bercuti raya. Menyambut satu Syawal di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang, Selangor, Siti dan suaminya, Datuk Seri Khalid Mohd. Jiwa turut meluangkan masa pulang beraya di kampung halaman masing-masing di Kedah dan Pahang.
Sebaik selesai bercuti, penyanyi itu akan mula sibuk dengan kerja-kerja seninya termasuk pembikinan album tradisional kontemporari yang telah lama diidamkan.
Ramai komposer terkenal bakal berkolaborasi dengannya dalam pembikinan album yang diterbitkan oleh Siti Nurhaliza Production Sdn. Bhd. (SNP) itu.
Antaranya beberapa nama yang memang dinanti-nantikan untuk bekerjasama seperti Zubir Ali, M. Nasir, Khairil Johari Johar, Adnan Abu Hassan, Zul Mahat dan Radhi OAG. Tidak ketinggalan tentulah Pak Ngah atau Datuk Suhaimi Mohd. Zain dan S. Atan.
Menurut Siti, perancangan pembikinan album tersebut telah dibuat sejak awal Januari lalu bersempena sambutan hari jadi pada Januari lepas.
Sudah ada lebih 10 buah lagu yang dihasilkan oleh komposer terbabit, kini hanya tinggal untuk memilih yang terbaik untuk dimasukkan ke dalam album itu nanti.
“Memang Siti sendiri rindu benar untuk muncul dengan album tradisional seperti ini. Rasa lega bila dah dapat kumpul lagu dan boleh buat rakaman secepat mungkin,” ujarnya. Kali terakhir Siti muncul dengan album tradisional Sanggar Mustika.
Dijangka dipasarkan selewat-
lewatnya awal tahun depan, Siti memberitahu akan memasuki studio rakaman selepas pulang cuti berhari raya.
“Siti teruja sangat nak buat album tradisional kontemporari. Sebab feel dia lain. Suasana, muzik dan jiwanya berbeza dengan lagu biasa. Lagipun Siti sendiri dah lama tak rakam lagu begini.
“Lagipun ada cabaran besar dalam menggalas pembikinan album kali ini kerana ia bersifat kontemporari.
“Misalnya, kalau iramanya moden, kita akan masukkan sentuhan muzik tradisional dan begitulah sebaliknya. Kalau lagu itu lagu asli maka kita akan cuba masukkan elemen moden,” jelas Siti.
Bakal memasuki studio rakaman untuk proses memasukkan vokal pada November depan selama dua minggu, Siti juga dalam perancangan merakamkan lagu tema drama popular Spa Q untuk musim kedua tidak lama lagi.
Akan menyampaikan lagu berentak dance music, Siti juga akan membuat penampilan istimewa dalam drama tersebut.
Selain perancangan album, Siti juga akan mengadakan konsert jelajah di setiap negeri anjuran Yayasan Nurjiwa dalam usaha mengumpul dana bagi membantu artis-artis yang kurang bernasib baik.
Sebahagian dana yang dikumpul juga akan diserahkan kepada badan dan rumah kebajikan terpilih di setiap negeri yang dijelajahi.
“Jika semuanya berjalan lancar, kita akan mengadakan sidang akhbarnya tidak lama lagi untuk mengumumkan tentang konsert jelajah ini,” kata Siti yang menubuhkan yayasan tersebut bersama suaminya sempena perkahwinan mereka.
- Beraya sederhana
Bercerita tentang persiapan raya pula, kata Siti, dua tahun hidup bersama, tidak banyak bezanya persiapan yang dilakukan selain menyediakan pakaian dan hidangan raya.
Kebanyakan pakaian, kata Siti sudah ditempah awal dan dia juga mengambil peluang membeli belah untuk persiapan anak-anak tirinya.
Cuma kata Siti, mungkin dia tidak dapat menyediakan biskut raya sendiri tahun ini kerana bahagian dapurnya masih dalam pengubahsuaian dan hanya akan siap pada Syawal nanti.
“Hidangan raya banyak yang Siti tempah sahaja termasuk ketupat daun palas kegemaran DK (panggilan untuk suaminya) yang Siti tempah di kampung di Kedah.
“Datuk pula jenis tak kisah asalkan ada ketupat dan rendang. Siti pula sukakan nasi impit kuah kacang,” kata Siti yang buat julung kalinya menyambut Syawal di Bukit Antarabangsa.
Dia yang sempat mengerjakan umrah ketika awal Ramadan lalu juga memberitahu berkeinginan untuk menjadikan amalan itu sebagai rutin setiap bulan puasa.
“Memang hati mahu ke sana setiap tahun. Insyaallah ada rezeki, Siti dan suami tidak mahu ketinggalan,” ujarnya lagi yang kelihatan tenang menghadapi gosip liar mengenai suaminya yang dikatakan berkahwin lain.
Malah Siti bertegas menafikan mengenai gosip dirinya dimadu dan memberitahu, “Siti tak tertekan. Tak percaya pun. Kita tahu suami kita. Biarlah mereka menambah dosa mereka. Dan kita pula menambah pahala dengannya.”
Siti bakal muncul dalam beberapa program istimewa raya antaranya Teratak Siti Nurhaliza dan Jangan Tidur Lagi di TV3 serta Eksklusif Siti Nurhaliza bersama peminat di RTM pada Syawal ini.Sumber Di Petik Dari : Utusan Malaysia
1 comments:
Siti making cantik la..
Post a Comment