Tuesday, September 23, 2008

Bebas tuduhan hadiah hari jadi - Fazura

Inilah hadiah hari jadi saya yang ke-25 dan juga hadiah menjelang Aidilfitri yang terbaik untuk saya pada tahun ini."

Demikian luahan pelakon jelita, Fazura sambil menangis kegembiraan sejurus selepas dia dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Majistret di sini semalam daripada tuduhan mencederakan seorang suri rumah di sebuah bar, empat tahun lalu.

Fazura atau nama sebenarnya Nur Fazura Samsudin yang akan genap 25 tahun Sabtu ini sebelum itu menghadapi tuduhan saman kerana mendatangkan cedera terhadap Geraldine Mariana Wong (gambar), 34, yang juga bekas menantu seorang menteri Kabinet.

Pemenang gelaran pelakon harapan di Festival Filem Malaysia ke-17 melalui filem Bicara Hati itu didakwa melakukan perbuatan tersebut pukul 1.20 pagi di Bar Luna Pacific Regency Hotel & Apartments, Jalan Kia Peng di sini pada 19 Disember 2004.

Ketika ditemui media di pekarangan mahkamah, heroin drama 'Ezora' itu memberitahu bahawa dia memang menanti-nantikan hari semalam dan bersyukur perjuangannya selama empat tahun kini selesai.

"Saya memang bersedia dengan segala kemungkinan walaupun tidak sangka akan dibebaskan daripada tuduhan," tambah Fazura yang ditemani rakan karibnya, pengacara, pelakon dan penyanyi Cheryl Samad.

Dalam pada itu, dia juga memberitahu sudah lama memaafkan Geraldine dan tidak menaruh dendam terhadap wanita itu.

''Kita semua manusia biasa dan semua orang tidak terkecuali melakukan kesilapan,'' katanya.

Malah kata Fazura lagi, jika dia terserempak dengan Geraldine, dia akan buat seperti biasa dan sama sekali tidak akan menjauhkan diri.

Sementara itu, sebaik sahaja selesai prosiding, Fazura terus meluru ke arah Cheryl yang duduk bersama-sama dengan ibu dan ahli keluarga lain di galeri awam dan mereka terus berpeluk-pelukan sambil menitiskan air mata.

Terdahulu, Majistret Aizatul Akmal Maharani membuat keputusan tersebut di akhir kes pembelaan selepas mendapati pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah kes itu.

Menurut Aizatul dalam penghakiman bertulisnya, tertuduh dalam pembelaannya memberi keterangan bahawa setelah insiden kali pertama dengan Geraldine, dia ingin keluar dari pub tersebut.

Bagaimanapun, semasa beredar, Geraldine datang dari belakang dan menarik rambut Fazura dengan kuat. Fazura yang kesakitan cuba melepaskan diri dengan menghayunkan kasut ke arah Geraldine.

Petikan Sumber Dari: www.kosmo.com.my

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger