Tuesday, September 23, 2008

Ikin pilih bulan madu di Mekah

MEREKA diketahui umum sebagai pasangan kembar yang mula dikenali ramai selepas salah seorang daripada mereka dikaitkan menjalinkan hubungan cinta dengan penyanyi popular, Mawi.

Nora'asikin Rahmat atau Ikin dan pasangan kembarnya Nora' Ain atau Aein sebelum ini kurang dikenali umum, tetapi apabila Ikin disunting sebagai insan istimewa di hati juara Akademi Fantasia 3 itu, kehidupan mula berubah. Dan tempiasnya sudah pasti turut terkena kepada Aein. Di tengah-tengah kehangatan pihak media yang menanti pengumuman tarikh sebenar perkahwinan Mawi dan Ikin, tiba-tiba Aein mengumumkan dia juga bakal turut melangkah ke gerbang perkahwinan tidak lama lagi.

Justeru adakah pasangan kembar ini akan berkahwin serentak dan menaiki pelamin secara serentak bersama pasangan masing-masing?

Saat bertemu Ikin dan Aein pada rakaman program Melodi Raya baru-baru ini, terus sahaja persoalan itu ditebak kepada Aien.

Mengakui bakal bergelar isteri, sama seperti Ikin, Aein sebaliknya memilih untuk bersuamikan lelaki daripada golongan yang bukan berlatar belakangkan anak seni. Malah, jejaka pilihannya yang berusia lewat 30-an itu merupakan seorang ahli perniagaan.

Menurut Aien, dia juga dapat membayangkan betapa meriahnya jika dia dan Ikin berkahwin serentak, apatah lagi mereka merupakan pasangan kembar.

Namun, katanya dia harus harus akur kerana ibu mereka tidak bersetuju untuk mengadakan perkahwinan mereka secara serentak.

"Mak tak bagi sebab katanya tak elok membuat persandingan serentak," ujar ringkas Aein yang mengakui akan melangsungkan perkahwinan pada tahun depan, beberapa bulan selepas Ikin naik pelamin.

Mengulas hubungannya dengan ahli perniagaan itu, Aein menegaskan hubungan dia dan jejaka tersebut mula serius sejak 10 bulan lalu.

"Pada awalnya kami hanya teman biasa sahaja kerana kami sebenarnya jarang bersua disebabkan sibuk dengan komitmen kerja masing-masing," tutur Aein.

Lokasi bulan madu Ikin

Menyentuh pula mengenai Ikin yang masih merahsiakan tarikh sebenar perkahwinannya dengan Mawi, biarpun umum mengetahui perkahwinan itu akan diadakan sekitar Disember ini beritahu Ikin, "Mengenai tarikh sebenar perkahwinan saya dan Mawi, tunggulah selepas Hari Raya nanti, suatu sidang media akan diadakan."



Namun apa yang pasti, terpancar seribu kegembiraan pada wajah Ikin apabila berbicara mengenai hari bersejarah mereka bakal bergelar suami isteri itu, lebih-lebih lagi mengenai lokasi bulan madu mereka.

"Saya pilih untuk berbulan madu di Mekah kerana di sana merupakan tempat yang paling istimewa bagi melakukan ibadah dan menenangkan fikiran.

"Malah saya sendiri tidak sabar untuk ke sana kerana sebelum ini hanya dengar cerita dari orang lain sahaja," ungkapnya sambil tersenyum.

Jujur hatinya juga mengatakan usia mencecah 29 tahun membuatkan Ikin sudah bersedia baik dari segi mental mahupun fizikal untuk bergelar isteri. Pun begitu dia sedar itu semua bukan satu tanggungjawab yang mudah. Ditambah pula, sejak kebelakangan ini banyak sekali kes-kes perceraian berlaku di kalangan pasangan muda. Ini menjadikan Ikin cukup berhati-hati dalam segala tindakan.

"Memang Ikin sudah bersedia dalam segala hal. Bukan apa usia pun dah 29 tahun kalau tak bersedia lagi tahun depan lagi tua dah cecah 30 tahun. Mana nak fikir perancangan anak, soal kehidupan. Inilah masa yang sesuai untuk kami," jelas Ikin dengan bersemangat mengenai masa depannya itu.

Membongkar lebih banyak kisah persiapan perkahwinan mereka, kata Ikin tidak banyak yang perlu dipersiapkan.

"Ikin tak risau sangat soal persediaan (perkahwinan) sebab mak sendiri dah sanggup menawarkan dirinya untuk menolong apa sahaja yang diperlukan. Ikin cuma telefon emak sahaja,"katanya.

Menyentuh mengenai bulan Ramadan pula, Ikin memberitahu detik puasa kali ini juga amat bermakna kerana dia berkesempatan berbuka bersama keluarga Mawi pada hari pertama Ramadan.

"Pada hari pertama berpuasa itu kami berbuka bersama dengan kedua-dua belah keluarga. Kami makan biasa sahaja, cuma beli di kedai dan makan bersama-sama," jelasnya yang ditemani pasangan kembarnya Aein.

Dalam sibuk berceloteh dan bercerita, Ikin sempat memuji keikhlasan hubungannya bersama Mawi dengan menyatakan buah hatinya itu sebenarnya bersikap cukup terbuka.

Paling penting sekali Ikin perlu bijak menguruskan diri baik dari segi kerjanya bersesuaian dengan corak penampilan terkininya.

Sejurus mendirikan rumah tangga kelak, akui Ikin lagi Mawi tidak pernah menyekat minatnya untuk menjadi artis seperti pelakon mahupun duta sebarang produk.

"Mawi tak pernah halang malah dia kata, selagi orang dapat menerima kehadiran kita dalam bidang seni maka baik terima sahaja asalkan apa yang dilakukan itu tidak salah," jelas Ikin.

Bersua nenek bongkok

Ikin dan Aein dalam pada itu sempat berkongsi pengalaman ketika mereka di zaman kanak-kanak. Menariknya, mereka berdua sempat menceritakan tentang satu kejadian aneh di bulan Ramadan ketika usia masing-masing 12 tahun.

Kejadian itu juga berlaku sewaktu mereka dan seorang teman baik pulang dari kelas tambahan. Dan apa yang berlaku pada malam itu membuatkan Ikin dan Aein demam teruk selama seminggu selepas terserempak dengan seorang nenek bongkok yang berjalan ke arah masjid. "Masa itu hujan. Kami bertiga buat tak tahu sebenarnya. Memang seram, tetapi paling menyeramkan tiba-tiba nenek itu cuba toleh ke arah kami dan tersenyum lebar.

"Apa lagi lintang pukang kami lari," cerita Aein bersungguh-sungguh agar meyakinkan orang yang mendengar cerita benar dizaman kanak-kanaknya itu.

Petikan Sumber Dari: www.kosmo.com.my

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger