Thursday, September 25, 2008

Istiqamah Nora

Keinginannya itu datang sendiri tanpa desakan sesiapa dan apatah lagi ketika menjalani sesi fotografi khas bersama Rap, keputusan itu dibuat secara ikhlas.

“Hendak diikutkan saya pasang niat lebih awal daripada itu ketika usia 19 tahun. Namun, seperti diketahui umum sebaik menyanyi, saya mengambil keputusan mendirikan rumah tangga.

“Keinginan bertudung tidak pernah padam cuma saya tidak pernah memberitahu sesiapa walaupun suami. Pada waktu sama, saya sibuk dengan kerjaya sebagai penyanyi yang memerlukan bergaya setiap hari jadi penampilan bertudung waktu itu dikatakan kurang sesuai.

“Keinginan hati kembali terusik apabila melihat penampilan beberapa personaliti televisyen memakai tudung. Dalam hati saya menyoal diri sendiri mengapa tidak memulakannya,” katanya.

Keazaman Nora untuk bertudung bertambah kuat apabila masuk 2008 dan kata isteri kepada komposer Johan Nawawi ini, waktu itu secara diam-diam dia sudah mula mencari dan mengumpul tudung yang dirasakan sesuai dengan penampilannya.

“Saya masih ingat bagaimana seronoknya mencari tudung di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Pening sebab macam-macam warna dan potongan ada. Saya tidak pernah tahu dan sekarang ini tidak perlu risau kerana ada pelbagai jenis fesyen tudung dijual di sana.

“Masuk pertengahan tahun, saya meminta pandangan suami mengenai keinginan untuk bertudung. Dia bagaimanapun mahu saya memikirkan semasak-masaknya.

“Saya tahu jauh di sudut hati, dia gembira dengan keputusan diambil. Suami pula kalau boleh mahu saya melakukannya dengan ikhlas dan bukan sebab terpaksa, mengikut orang atau sekadar mahu bergaya.

“Selain itu Johan turut menjelaskan kepada saya kemungkinan bakal berlaku jika saya bertudung. Saya faham maksudnya dan keputusan diambil ini adalah yang terbaik.

“Pada majlis sambutan hari jadi ke-35 akhirnya saya terus bertudung. Suami dan tiga anak tumpang gembira dengan penampilan baru saya ini,” katanya lagi.

Di samping itu Nora yang kini bergelar pengacara turut bertuah kerana rakan sekerja di TV9 ramai bertudung dan turut membantu memberikan tunjuk ajar.

“Maklumlah sebagai orang baru hendak membiasakan diri dengan tudung tentu sedikit kekok terutama dalam hendak menggayakannya. Rakan di TV9 menolong saya untuk menggayakan tudung mengikut kesesuaian.

“Selain itu mereka turut membelikan saya barang keperluan lain seperti sarung tangan dan baju diperlukan bagi wanita bertudung,” katanya lagi.

Menyentuh kerjaya seninya pula jelas Nora dengan penampilan baru sudah tentu banyak perubahan akan dilakukan terutama membabitkan lagu yang akan ditampilkan dalam album terbaru bakal diusahakan.

“Pertamanya, sudah tentu tiada lagu yang memerlukan saya menari apabila berada di atas pentas. Tema ditampilkan juga haruslah bersesuaian.

“Begitupun saya tidak begitu bimbang kerana sepanjang bergelar penyanyi peminat lebih menggemari saya mendendangkan lagu balada berbanding rancak.

“Tambahan pula sebagai pengacara rancangan wanita di TV9 yang dekat dengan budaya Melayu sudah tentunya penampilan saya ini sedang diterima orang luar. Tidak dinafikan ramai juga memberikan maklum balas positif dan mereka sukakan penampilan saya ini,” katanya.

Selain imej bertudung turut menjadi perhatian peminat sepanjang Ramadan ini adalah perniagaan kuih raya Secukup Rasa dan hamper diusahakan Nora.

Katanya perniagaannya itu sudah diusahakan tiga tahun lalu dan dibuat secara kecil-kecilan di peringkat awal untuk teman rapat.

“Pada peringkat awal saya hanya mencuba tetapi tidak sangka pula ramai yang meminatinya. Selepas itu perniagaan diusahakan ini semakin berkembang atas promosi mulut ke mulut.

“Masa mula-mula buat suami bising juga kerana kasihankan saya yang asyik membuat kraftangan bermula selepas sahur hinggalah petang. Memang hendak membuat hamper ini kerjanya renyah tetapi dalam waktu sama ia cukup melekakan,” katanya.

Menyentuh mengenai kuih raya pula jelas Nora, dia mempunyai beberapa pembekal yang amat dikenali. Malah, katanya sebelum barang mereka diambil, Nora terlebih dulu merasa dan melihat bagaimana ia dihasilkan termasuk kerja pembungkusan.

“Kebanyakan mereka ini membuat kuih sebagai pendapatan sampingan. Saya mengharapkan usaha memasarkan kuih dihasilkan mampu membantu mereka menjadi usahawan.

“Bermula dari perniagaan kecil mungkin kami boleh sama-sama berkembang dengan menjadi empayar dalam perniagaan pembuatan biskut. Impian saya selepas ini mahu memasarkan Nora Secukup Rasa di pasar raya besar dan terkenal,” katanya.

Petikan Sumber Dari : www.hmetro.com.my

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger