Tuesday, October 14, 2008

Ikan Paus Terdampar di Pantai


PENDUDUK kampung membantu ikan paus yang terdampar di Muara Sungai Kuala Nenasi, Pekan, Pahang, semalam.- Gambar MAHATHIR ALI


PEKAN 13 Okt. – Penduduk Kampung Kuala Nenasi di sini gempar apabila seekor anak ikan paus yang masih hidup seberat kira-kira tiga tan terdampar di pantai Kuala Sungai Nenasi dekat sini hari ini.

Ikan paus berukuran 10 meter panjang itu dipercayai jenis Fin berdasarkan sirip belakang yang pendek, bukaan mulut yang panjang serta bergaris lurus selari dengan matanya.

Ia dipercayai tersesat daripada ibunya sebelum memasuki perairan Pekan dan terdampar di pantai yang terletak kira-kira 10 kilometer dari zon pendaratan ikan Kuala Sungai Nenasi akibat air surut antara pukul 7 hingga 9 pagi.

Seorang nelayan, Abd. Rahim Sulong, 36, berkata, dia merupakan antara orang pertama menyedari ikan paus berkenaan terdampar di pantai itu selepas terlihat pancutan air setinggi kira-kira dua meter dari sebuah kawasan berdekatan.

Menurutnya, ketika itu dia yang sedang melalui Kuala Sungai Penor untuk menangkap ikan di laut pada pukul 7 pagi apabila terlihat pancutan air yang keluar daripada saluran pernafasan mamalia itu. “Semasa mendekatinya, ikan paus itu tidak dapat berenang sebab paras air cuma pada aras lutut dan ia terlalu cetek untuk ikan itu berenang semula ke laut,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Abd. Rahim berkata, ikan paus itu didapati mengalirkan air mata seolah-olah sedih dan terharu dengan pertolongan orang ramai yang menyimbah air ke badannya sebaik sahaja paras air mula kering di kawasan ia terdampar kira-kira dua jam selepas ditemui.

Menurutnya, keadaan itu juga menyebabkan beberapa kumpulan nelayan di sekitar Kuala Sungai Nenasi bersilih ganti menyimbah air ke badan mamalia tersebut untuk memastikan ia terus hidup sementara menunggu air pasang semula pagi ini.

“Beberapa bahagian kulit ikan paus itu menggelembung akibat sinaran panas matahari dan terdapat beberapa kesan luka disebabkan gelembung yang sudah pecah terutama pada bahagian belakang badannya,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi nelayan, Faizal Ibrahim, 29, pula berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk membawa ikan paus tersebut kembali ke laut namun gagal.

Tambahnya, kira-kira 40 penduduk kampung cuba menolak ikan paus itu ke laut tetapi gagal dan apa yang mampu dilakukan ialah menyimbah air untuk memastikan mamalia itu terus hidup sehingga air pasang semula.

Rakannya, Hussain Othman, 47, pula memberitahu, kejadian itu dimaklumkan kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan namun tiada tindakan segera diambil untuk menyelamatkan mamalia tersebut.

Jelasnya, beberapa pegawai agensi dan jabatan terbabit sekadar mengambil gambar dan terus pulang tanpa mempeduli atau melakukan sebarang tindakan yang dapat menyelamatkan ikan paus berkenaan.

“Apa yang boleh penduduk kampung lakukan hanyalah menunggu air pasang dan memastikan mamalia itu terus hidup dan sekiranya gagal kami akan ikhtiar cara lain pula,” tegasnya.

Sumber Dipetik Dari : isuhangat.blogspot.com

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger