Friday, October 31, 2008

Memey, Norman dicekup

KUALA LUMPUR: Sekumpulan pegawai penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) terkejut apabila mendapati ‘lembaga hitam’ yang ditemui dalam sebuah bilik kecil sebenarnya seorang pelakon terkenal yang cuba mengelak daripada diberkas kerana disyaki berkhalwat.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, artis terbabit, Mohamed Nurhakim Zaidon atau Norman Hakim, 32, dikatakan cuba menyembunyikan diri sebaik menyedari kehadiran pencegah maksiat selepas dia dikesan berkurung dengan pelakon wanita, Suhaiza Suhaimi atau Memey, 20, di pejabatnya di Ukay Perdana di sini. Serbuan dilakukan tujuh anggota penguat kuasa Jais.

Pegawai Perhubungan Awam Jais, Mohd Hidayat Abdul Rani, berkata pihaknya menerima maklumat menyatakan ada pasangan artis berdua-duaan dalam pejabat milik pelakon lelaki terkenal menerusi drama bersiri Gerak Khas itu.

“Selepas yakin dan pasti dengan maklumat terbabit, pegawai Jais melakukan serbuan sekitar jam 2 pagi di pejabat artis berkenaan.

“Mulanya, pintu pejabat itu diketuk berulang kali selama beberapa minit, namun tidak dibuka dan penghuninya hanya berdiam diri,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan enggan membuka pintu pejabat itu menyebabkan pegawai Jais bercadang menggunakan kuasa menggeledah.

“Bagaimanapun, seorang individu tidak dikenali tiba-tiba muncul sambil membawa kunci pejabat terbabit lalu membukanya.

“Sebaik pintu dibuka, seorang gadis yang juga pelakon baru dalam keadaan lengkap berpakaian ditemui,” katanya.

Kemudian, pegawai Jais mencurigai gadis berkenaan hanya bersendirian sedangkan maklumat diterima menyatakan dia bersama seorang pelakon.

Ini menyebabkan mereka memeriksa keseluruhan pejabat berkenaan bagi mencari pasangannya.

“Usaha mencari pasangan gadis itu akhirnya berjaya apabila pegawai Jais yang melakukan pemeriksaan menyeluruh, menemui seorang lelaki sedang bersembunyi dalam bilik kecil di atas stor pejabat itu,” katanya.

Ditanya sama ada lelaki itu artis lelaki popular, beliau tidak menafikannya, tetapi enggan mengulas lanjut.

“Ketika disoal siasat, artis berkenaan menafikan terbabit dengan perlakuan sumbang itu. Bagaimanapun, dia tetap ditahan mengikut Seksyen 29 Enakmen jenayah Syariah Selangor 1995.

“Selepas maklumat diri diambil, pasangan terbabit dibebaskan dengan jaminan. Mereka akan dipanggil memberi keterangan di pejabat Jais. Apa yang saya dimaklumkan, kedua-duanya sudah memberi keterangan pagi dan petang tadi (semalam),” katanya.

Beliau berkata, Jais akan menilai keterangan yang diambil itu sebelum tindakan pendakwaan dilakukan.

“Apa yang saya mahu tekankan ialah pegawai Jais menjalankan tanggungjawab amar makruf nahi mungkar diberi dan bukan hanya suka-suka mengambil tindakan tanpa bukti. Ini bagi memastikan nama baik Jais sebagai badan agama terpelihara,” katanya tanpa mahu menyebut nama kedua-dua pelakon ditahan itu.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Superintendan Amiruddin Jamaluddin, yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung penahanan pasangan pelakon itu pagi semalam.

Menurutnya, berdasarkan laporan pegawai Jais yang melakukan tangkapan, mereka ditahan di sebuah bangunan di Ukay Perdana dalam keadaan berdua-duaan.

“Polis hanya membantu Jais ketika tangkapan, namun tindakan lanjut ke atas pasangan itu di bawah undang-undang syariah,” katanya.

Sumber Dipetik Dari : www.hmetro.com.my

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger