Friday, October 10, 2008

Penyakit filem Melayu kembali! - Komen naif David Teo

"PERTAMA ego, kedua mahu glamor, ketiga mungkin tiada masa dan keempat dah kena tipu!," begitu pandangan naif daripada David Teo mengenai perkembangan terbaru industri filem Melayu.

Penerbit filem paling aktif di Malaysia menerusi syarikat filemnya, Metrowealth Movies Productions (MMP) itu merasa terpanggil untuk mengeluarkan kenyataan itu kerana ralat melihat perkembangan terkini dengan kemunculan penerbit-penerbit filem Melayu yang boleh diibaratkan seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.

Perkembangan terkini itu sebenarnya bukan perkara baru tetapi boleh diibaratkan seperti penyakit lama industri filem Melayu yang kembali menular.

Bukan takut bersaing tetapi menurut David, dengan kemunculan banyak filem, khususnya dari syarikat-syarikat filem baru muncul, ini akan memeriahkan lagi industri filem Melayu.

"Saya tak takut bersaing kerana setiap filem tertakluk kepada Syarat Wajib Tayang Finas yang bermakna semua filem berpeluang ditayangkan, dan lagipun filem-filem yang dihasilkan adalah dari genre dan barisan pelakon yang berlainan, jadi tidak timbul soal takut dengan persaingan.

"Tetapi kemunculan banyak filem dari syarikat produksi yang berlainan hanya baik untuk jangka pendek sahaja. Ia menunjukkan industri filem kita maju dan berkembang. Namun, untuk jangkamasa panjang ia sebenarnya tidak baik," tegasnya kepada Kosmo!.

Tambah David apa yang dibimbangi ialah senario penerbit-penerbit baru ini mahu membikin filem secara terburu-buru.

"Mereka tidak membuat kajian dan enggan menimba ilmu dengan individu-individu yang telah lama berkecimpung dalam industri perfileman di Malaysia.

"Ada penerbit baru yang mengambil tenaga produksi filem main bantai sahaja. Produksi seperti ini akan mendatangkan lebih banyak kerugian daripada keuntungan.

"Dan impak jangka masa panjangnya ialah ia bakal menambahkan penerbit filem yang banyak hutang. Ini akan memberi imej yang buruk kepada industri nanti," katanya, jujur.

Menurut David lagi, dia percaya kemunculan penerbit-penerbit baru sekarang ini yang ada sesetengahnya ego kerana memiliki kewangan yang banyak dan terus melabur dalam industri perfileman tanpa menjengah untuk melihat secara mendalam bagaimana wajah sebenar industri filem Melayu.

"Mereka ini tidak tahu banyak yang busuk dalam industri kita. Mereka hanya lihat secara luaran sahaja, kalau bikin filem sekarang ini, mesti boleh buat untung sebab banyak filem box-office.

"Mereka ingat bikin filem senang macam buat tauhu - hanya campur kacang soya dan air sahaja.

"Sedangkan realitinya mereka tidak tahu mengenai kerja keras dan segala pengorbanan yang perlu dilakukan bagi memastikan kejayaan sesebuah filem di pasaran."

Beritahunya David lagi "Dalam proses menghasilkan sesebuah produksi filem, ia membabitkan aspek-aspek seperti penyelidikan, pemasaran dan sistem pentadbiran yang perlu diatur dengan jitu.

"Bukan asal ada duit, semua boleh jalan!"

Berjaya sebab sasaran penonton

Mengulas mengenai filem terbaru terbitannya, Senario The Movie - Episode 1 yang mengumpul kutipan sebanyak RM3.2 juta dalam tempoh seminggu ditayangkan di pasaran sejak Aidilfitri 1 Oktober lalu, mengatasi rekod yang dibuat filem box-office nombor satu MMP, Jangan Pandang Belakang yang meraih kutipan sebanyak RM2.8 juta dalam tempoh tersebut.

Berbanding pula satu-satunya pesaingnya di pawagam sempena musim hari raya kali ini, Kami The Movie yang sekadar meraih kutipan sebanyak RM720,000 dalam tempoh yang sama, ujar David perbandingan sebegitu tidak boleh dibuat antara Senario The Movie - Episode 1 dan Kami The Movie.

"Ini kerana sasaran penonton filem saya lebih meluas berbanding Kami The Movie yang agak terhad iaitu untuk golongan remaja urban sahaja.

"Sedangkan Senario The Movie - Episode 1 arahan Ahmad Idham ini meraih tontonan seisi famili, remaja matang, remaja, kanak-kanak, ibu bapa mereka dan lain-lain. Sebab itulah filem ini lebih meraih keuntungan. Apa yang penting ialah sejauh mana jumlah sasaran penonton filem."



Ditebak bagaimanakah pula dengan sebuah filem terbitan MMP yang dijadual ditayangkan menjelang 20 November ini berjudul, Selamat Pagi Cinta yang merupakan genre remaja, awal-awal lagi David menyedari cabaran yang bakal mendepani.

"Sasaran penonton untuk filem Selamat Pagi Cinta terhad kepada golongan remaja dan perempuan sahaja. Sebab itu saya janga kutipannya sekadar RM2 juta sahaja."

Apa yang jelas, David tidak menghasilkan filem terhad kepada satu genre sahaja.

"Macam makananlah, kena apa kepelbagaian rasa, begitu juga filem," katanya.

Sumber Dipetik Dari : www.kosmo.com.my


0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger