Sunday, October 5, 2008

Mawi, Ikin sah nikah Disember

Mawi menolak kemungkinan majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bangi dan menganggap masih terlalu awal untuk mengulas mengenai lokasi persandingannya

PASTINYA tarikh sebenar perkahwinan Mawi bersama Ikin ketika ini menjadi bualan hangat peminat dan pihak media massa. Terdengar ura-ura Mawi, Ikin memilih tarikh 20 atau 21 Disember ini, tetapi semua itu sekadar spekulasi pihak media. Selagi Mawi belum membuka mulutnya, tarikh keramat itu terus menjadi tanda tanya.

Peluang bertemu Mawi menerusi sesi fotografi bersama Ikin awal bulan ini, penulis terus memujuk Mawi supaya dia memperkatakan serba sedikit mengenai tarikh sebenar pernikahannya, meskipun sebelum ini dia pernah memberitahu, pengumuman khas akan dibuat selepas dua atau tiga minggu sambutan Aidilfitri ini, namun semua itu sekadar perancangan.

"Kami masih di peringkat perbincangan. Kami sebenarnya belum membuat sebarang perancangan. Justeru, saya takut untuk berbicara secara terus terang mengenai tarikh sebenar pernikahan saya bersama Ikin. Ada yang kata kami kahwin Disember, saya pula takut nanti ada apa-apa perubahan! Pun begitu, memang tak dinafikan, saya dan Ikin sedang merancang bakal melangsungkan pernikahan kami pada Disember akan datang, insya-Allah.

"Issh! Susahnya saya nak bercakap mengenai perkara ini (tarikh nikah) kerana bagi saya masih terlalu awal. Memang kami merancang sekitar Disember ini, tapi buat masa ini, fikiran saya masih berserabut memikirkan banyak benda. Namun, saya sentiasa berdoa agar perancangan itu (pernikahan) akan berlangsung Disember ini, insya-Allah.

"Terus-terang saya katakan, saya takut apabila bercakap mengenai tarikh ini. Tapi, seperti saya katakan tadi, memang saya dan Ikin ada perancangan ke arah itu (perkahwinan). Yang penting, saya dan Ikin tak bertunang, tak ada apa, kami terus nikah. Saya tak mahu mengimbau kenangan silam (putus tunang dengan Ina Naim).

"Kami juga tak akan bertunang untuk beberapa jam, kemudian baru nikah seperti sesetengah pasangan itu, sebaliknya saya lebih senang terus nikah saja. Pastinya majlis pernikahan akan berlangsung di kampung keluarga pengantin perempuan, diikuti kenduri di Felda Taib Andak. Namun, majlis khusus untuk meraikan rakan artis dan media, saya sedang memilih tempat sesuai di sekitar Kuala Lumpur," kata Mawi yang akhirnya meleraikan sedikit persoalan yang bersarang di fikiran media dan peminat selama ini.

Pun begitu, Mawi menolak kemungkinan majlis berkenaan akan berlangsung di kediamannya di Bangi, Selangor. Pada masa sama terdengar desas-desus Mawi akan mengadakan majlis perkahwinannya di Hotel Palace of the Golden Horses atau di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) apabila beberapa pembesar negeri termasuk Sultan dan Menteri Besar turut mendapat undangan daripadanya.

Mawi pula ketika ditanya mengenai perkara itu, tidak mahu memberi sebarang ulasan kerana baginya terlalu awal untuk bercakap soal berkenaan.

Tidak mustahil, persandingan Mawi-Ikin bakal melakar sejarah sebagai wedding of the year. Justeru, dua stesen TV gergasi iaitu TV3 dan Astro sedia membuat pelaburan lumayan untuk menjadi penyiar TV rasmi majlis perkahwinan mereka.

Mawi ketika ditanya tidak menolak kenyataan itu apabila mengakui dia ada menerima tawaran dari stesen TV berkenaan, namun belum memberikan sebarang persetujuan stesen pilihannya.

Hadiri kursus nikah selepas Aidilfitri

"Terus-terang saya katakan, saya tidak selesa majlis perkahwinan saya disiarkan di TV, pun begitu saya harus memikirkan kepentingan peminat yang menjadi tulang belakang kerjaya saya selama ini. Tentunya mereka ingin melihat saya bersanding dari dekat, justeru kepada mereka yang tidak berpeluang meraikan majlis perkahwinan saya, mereka boleh menontonnya di kaca TV," kata Mawi yang tidak lagi menolak apabila diminta bergambar bersama Ikin.

Apabila ditanya mengenai kursus perkahwinan, Mawi memberitahu dia dan Ikin akan menghadirinya pada masa terdekat ini.

"Bila, saya tidak ada sebarang tarikh sebenar. Yang pasti, segala-galanya akan berlangsung selepas Aidilfitri ini, lepas raya ni Oktober, kemungkinan kami bakal menghadiri kursus kahwin Oktober kot... Kalau tak jadi Oktober, mungkin November depan," kata Mawi yang masih berahsia.

Bercakap mengenai sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang tiga hari saja lagi, Mawi memberitahu dia bersama keluarga akan meraikannya di Kuala Lumpur. Keluarga akan bertandang ke rumahnya di Bangi. Pun begitu, dua, tiga hari sebelum raya, dia akan pulang ke kampung, menziarahi pusara anggota keluarga, apabila selesai segala urusan, baru dia membawa keluarga balik ke Kuala Lumpur.

Beraya di rumah Ikin di Johor

Ditanya pada hari raya ke berapa dia akan menziarahi keluarga bakal mentuanya, ini jawapan Mawi: "Kali ini cuti raya saya agak panjang, bila-bila masa saja saya boleh berhari raya ke rumah keluarga Ikin di Johor Bahru."

Apakah hadiah istimewa buat bakal isterinya sempena lebaran ini, Mawi keberatan untuk memberitahu, namun selepas didesak beberapa kali, dia akur.

"Saya tak terfikir langsung mengenai perkara itu (hadiah hari raya Ikin), namun apabila sudah ditanya baru saya nak fikir. Hamper raya kot! Tak tahulah hadiah apa yang sesuai. Mungkin jubah dan tudung raya... Yang penting, sempena Syawal ini, doakanlah yang baik-baik untuk kami berdua agar apa yang kami rancang mendapat keredaanNya, insya-Allah," kata Mawi yang sentiasa ditemani Ikin sepanjang temu bual di suite mewah POTGH.

Sementara itu, terpancar kebahagiaan pada wajah Ikin apabila bakal suaminya, Mawi sedia membuat sedikit pengumuman mengenai hari langsung pernikahan mereka nanti yang dijangka Disember ini.

Ikin syukur Mawi terima dirinya

"Saya bersyukur sekiranya pernikahan itu bakal berlangsung Disember ini. Mudah-mudahan perkahwinan ini akan berlaku sekali saja seumur hidup. Sekiranya benar Mawi bersedia menerima saya dalam hidupnya, syukur sangat-sangat. Saya melalui pelbagai dugaan dan cabaran sepanjang bersama Mawi kerana percintaan kami tidak seperti pasangan lain.

"Dulu, kami nak ke mana-mana tidak bebas, cuma baru sekarang saya rasa kelonggarannya. Apa yang saya harapkan ketika ini ialah keredaanNya," kata Ikin sambil sesekali menjeling manja ke arah Mawi.

Mengenai tohmahan masyarakat sekeliling yang memandang serong kepadanya apabila melemparkan pelbagai tuduhan negatif dalam usaha mendapatkan cinta dan kasih sayang Mawi, Ikin berkata: "Segala cacian, kata nista dan fitnah, saya tak ada kuasa nak menghalangnya. Cakaplah apa saja, siapa yang kenal diri saya, mereka tahu. Selagi saya bernyawa, hanya pada Tuhan saya minta pertolongan."

Syawal kali ini Ikin akan meraikannya bersama keluarga di Johor Bahru. Ditanya apakah hadiah hari raya buat bakal suaminya, Ikin memberitahu: “Songkok kot sebab songkok Mawi dah lusuh..."

Sumber Dipetik Dari : Berita Harian

0 comments:

Original design by andrastudio Blogger port by Blogger Templates

Powered by Blogger